Apakah dia vaksin pandemik influenza A (H1N1) ini?
Ia adalah sejenis vaksin yang boleh melindungi jangkitan virus pandemik influenza A (H1N1).
Mengapa suntikan vaksin ini penting?
Virus pandemik influenza A (H1N1) 2009 ialah sejenis virus influenza yang baru dan mudah merebak melalui udara termasuklah melalui sentuhan langsung, batuk dan bersin. Lazimnya merupakan penyakit ringan sahaja, walaubagaimanapun, influenza ini boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang serius atau kematian. Program vaksinasi ini akan melindungi orang ramai dari jangkitan, mengurangkan jumlah virus yang tersebar dikalangan masyarakat dan memberi perlindungan dari gelombang virus di masa akan datang.
Orang ramai yang berisiko tinggi bagi komplikasi kesihatan jika dijangkiti virus pandemic influenza ini ialah ibu-ibu mengandung, kanak-kanak dan pesakit penyakit kronik termasuk:
- Penyakit jantung
- Asma
- Kanser
- Obesiti
- Penyakit kencing manis
- Penyakit buah pinggang
- Penyakit imunologi
- Penyakit urat saraf
Adakah vaksin ini selamat?
Kajian klinikal telah menunjukkan yang vaksin ini adalah selamat dan efektif untuk digunakan bagi yang terlibat. Walaubagaimanapun, vaksin ini adalah baru dan kesan sampingan vaksin ini belumlah dapat disenaraikan sepenuhnya.
Adakah vaksin ini sesuai untuk semua orang?
Tidak semua orang sesuai menerima suntikan vaksin ini. Orang ramai yang mempunyai alahan teruk kepada telur atau pernah mendapat alahan teruk 'anaphylaxis' selepas menerima apa jua vaksin tidaklah dapat diberikan vaksin ini.
Bagaimana vaksin ini diberikan?
Suntikan vaksin diberikan samada 1 dos atau 2 dos. Dos kedua akan diberikan selepas 28 hari mengikut umur dan keadaan pesakit. Kakitangan kesihatan yang mengendalikan suntikan akan memberikan tarikh dos ke 2 jika diperlukan.
Apakah kemungkinan kesan sampingan vaksin ini?
Seperti ubat-ubatan yang lain, vaksin ini juga mempunyai kesan sampingan, walaubagaimanapun tidak semua orang akan mengalaminya. Kesan sampingan boleh mula berlaku sebaik saja lepas suntikan.
Beberapa kesan sampingan yang mungkin berlaku:
Sakit kepala, berpeluh, demam panas, sakit pada otot dan sendi, keletihan dan menggigil.
Tindakbalas pada bahagian yang disuntik:
Kemerah-merahan, sakit dan bengkak.
Kesan sampingan yang jarang berlaku:
Anggota badan rasa kebas, mengantuk, pening, cirit-birit, muntah, sakit perut, gatal, ruam, merasa kurang sihat, susah tidur, sawan dan kekurangan 'platelet' darah.
Walaubagaimanapun jarang berlaku, 'anaphylaxis' (alahan teruk yang boleh mengakibatkan seseorang tidak sedar dan kematian jika tidak dirawat dengan segera) boleh berlaku. Terdapat juga laporan yang berkemungkinan mengaitkan vaksin influenza dengan sindrom Guillain-Barre (penyakit urat saraf yang boleh menyebabkan lumpuh). Perkaitan sindrom dengan vaksin in i tidak terbukti.
Apa yang perlu dilakukan jika awda mengalami kesan sampingan?
Jika awda mengalami kesan sampingan seperti yang dinyatakan di atas ataupun risau mengenai masalah kesihatan yang awda fikirkan berkaitan dengan vaksin yang diterima, awda hendaklah mendapatkan nasihat kesihatan dengan segera.
Adakah saya terlindung sepenuhnya daripada jangkitan virus pandemik influenza A (H1N1) selepas suntikan vaksin ini?
Adalah perlu diingatkan bahawa tidak ada vaksin yang memberi perlindungan sepenuhnya kepada setiap individu selepas suntikan vaksin. Walaubagaimanapun jika awda masih dijangkiti virus pandemik influenza A (H1N1), jangkitan akan lebih ringan dan jangkamasa untuk sembuh adalah pendek. Immuniti selepas suntikan berlainan dari seorang keseorang. Pada lazimnya, badan awda mula mengeluarkan antibodi yamg memberi perlindingan tidak lama selepas mendapat suntikan vaksin ini. Ia akan memberi perlindungan lebih kurang setahun bagi kebanyakan orang.
Vaksin pandemik influenza A (H1N1) tidak akan melindungi awda daripada influenza bermusim (seasonal flu). Awda masih boleh dijangkiti virus influenza bermusim yang lain. Oleh yang demikian adalah penting bagi awda mengamalkan kebersihan diri pada setiap masa.
MOH, NBD.
Nov 2009.
Hotline: 145 (During office hour)/ 7180991.
0 Responses to "Information on Pandemic Influenza A (H1N1) Vaccine"
Post a Comment